Thursday 29 September 2011

Cubaan iblis terhadap Nabi Ayub



DAN (ingatlah peristiwa) hamba kami, Nabi Ayub ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit). (Shaad: 41)
NABI Ayub terkenal dengan kekuatan imannya. Kekuatan iman Nabi Ayub ini membuatkan iblis cemburu. Iblis juga berasa sakit hati apabila mendengar para malaikat asyik memuji Nabi Ayub. Iblis lalu menggoda dan merayu Nabi Ayub supaya meninggalkan suruhan Allah dan berhenti daripada beribadat. Setelah semua godaan yang dilakukan oleh iblis itu tidak berjaya. Iblis menemui Allah lalu berkata: Tuhan, Ayub itu sebenarnya tidak ikhlas sujud kepada-Mu. Dia cuma inginkan nikmat kekayaan dan anak-anak sebagai pewarisnya sahaja.
Mendengar kata-kata Iblis itu, maka Allah ingin membuktikan kepada Iblis bahawa Nabi Ayub itu sememangnya seorang yang beriman, sabar dan tabah dalam menghadapi sebarang dugaan. Allah pun lalu memberi kebenaran kepada iblis supaya menghasut Nabi Ayub agar lalai dalam beribadat.
Iblis memusnahkan segala harta benda Nabi Ayub sehingga menjadikan Nabi Ayub muflis. Iblis juga berjaya memusnahkan kediaman baginda sehingga roboh dan binasa. Anak-anak Nabi Ayub yang berada di dalam rumah itu kesemuanya meninggal dunia dalam keadaan yang sungguh mengerikan.
Setelah berjaya memusnahkan semuanya, iblis menyamar sebagai seorang lelaki dan bertanya kepada Nabi Ayub: Wahai Ayub, lihatlah keadaan mu sekarang. Hilang segala harta benda dan anak-anak yang kau miliki selama ini sedangkan engkau adalah hamba Allah yang kuat beribadat. Tidak guna engkau kuat beribadat kerana Allah Yang Maha Berkuasa itu pun tidak mahu menyelamatkanmu.
Wahai iblis, semua yang aku miliki selama ini, adalah pinjaman daripada Allah sahaja. Kini sudah tiba masanya Allah mengambilnya semula. Hanya Allah sahaja yang berkuasa di atas segala-galanya.
Iblis sungguh marah dan kecewa apabila usahanya untuk memesongkan akidah Nabi Ayub gagal. Sekali lagi iblis menemui Allah untuk menyatakan perasaan kecewanya itu.
Untuk kali ketiganya Allah mengizinkan iblis berbuat apa sahaja terhadap kesihatan Nabi Ayub. Iblis datang kepada Nabi Ayub dan membawa bersamanya satu penyakit yang tidak ada ubat atau penawar untuk menyembuhkannya. Nabi Ayub terpaksa menghadapi kesakitan itu bertahun-tahun lamanya.
Namun segala kesakitan itu tidak menghalang Nabi Ayub untuk sujud kepada Allah. Melihat ketabahan Nabi Ayub itu, iblis semakin kecewa kerana segala usahanya selama ini tidak juga berhasil.
Satu lagi peluang yang masih ada ialah menghasut isteri Nabi Ayub. Iblis berjaya menghasut isteri Nabi Ayub supaya meninggalkan baginda seorang diri. Tinggallah Nabi Ayub menanggung kesakitan itu seorang diri. Pada suatu hari, Nabi Ayub berdoa kepada Allah supaya disembuhkan penyakitnya.
Allah lalu mewahyukan kepada Nabi Ayub supaya menghentakkan kakinya ke tanah supaya keluar air daripada tanah tersebut. Air yang keluar itu hendaklah diminum dan digunakan untuk mandi agar segala penyakit yang dideritainya sembuh.
Nabi Ayub pun melaksanakan suruhan Allah itu dan penyakitnya sembuh. Keadaan tubuhnya menjadi seperti sediakala malah lebih kuat dan bertenaga sebagaimana zaman mudanya dahulu. Isteri yang meninggalkannya dahulu menyesal dan mengakui kesalahannya.
Cubaan iblis terhadap Nabi Ayub | Berita Harian Online:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment